
TIGA HOSPITAL PANEL MAMOGRAM UNTUK WANITA MELAKA
AYER KEROH 26 Mei – Tiga hospital swasta di negeri ini dilantik sebagai hospital panel bagi membantu golongan wanita menjalani ujian mamogram menerusi Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe).
Kempen kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu dilaksanakan di tiga hospital di negeri ini iaitu Putra Specialist Hospital (PSH), Pantai Hospital Ayer Keroh dan Mahkota Medical Centre (MMC).
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, pelantikan hospital panel itu bagi memudahkan wanita di negeri ini mendapatkan akses kepada saringan kesihatan reproduktif secara lebih menyeluruh dan teratur.
“Saya menyeru kepada semua wanita dan ibu-ibu di Melaka memanfaatkan subsidi dan peluang disediakan LPPKN kerana menjaga kesihatan diri adalah langkah pertama untuk terus menjadi ibu yang sihat, kuat dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari Ibu 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Komuniti Bukit Beruang, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee; Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad.
Menurut Kalsom, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha berterusan LPPKN Melaka dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan ke arah pemerkasaan institusi keluarga.
Katanya, antara perkhidmatan khusus yang disediakan untuk wanita ialah saringan mamogram dan HPV DNA secara percuma menerusi WCaRe.
“Perkhidmatan ini telah dirancakkan lagi melalui Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Negeri Melaka bertujuan menyantuni permasalahan rakyat hingga ke akar umbi.
“Ia juga mewujudkan komunikasi dua hala serta memperkukuh kebajikan dan keterlibatan komuniti dengan tindakan segera selain menjadi jambatan antara pemimpin dan masyarakat untuk menyelesaikan isu setempat secara proaktif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

