Sorting by

×

300,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK KE MELAKA SEMPENA CUTI PERAYAAN, SEKOLAH

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SUNGAI UDANG 27 Mei – Kira-kira 300,000 kenderaan dijangka memasuki Melaka sepanjang Hari Raya Aidiladha dan cuti sekolah dengan Banda Hilir menjadi kawasan tumpuan utama pengunjung.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, peningkatan jumlah kemasukan kenderaan itu merupakan trend biasa setiap kali musim perayaan besar dan sesi cuti sekolah yang panjang.

Beliau berkata, justeru itu Kerajaan Negeri menerusi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kelancaran pengurusan di kawasan pelancongan dan lokasi tumpuan.

“Selalu setiap kali musim perayaan besar termasuk cuti persekolahan Melaka sememangnya menerima kemasukan pelancong yang tinggi dan untuk Aidiladha ini kita jangkakan kira-kira 300,000 memasuki negeri ini.

“Untuk hujung minggu kebiasaannya bagi Banda Hilir kenderaan yang masuk direkodkan mencecah belasan ribu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ibadah Korban Perdana Masjid As Syuhada Kem Terendak yang turut dihadiri Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Sani S Omar, hari ini.

Menurut Rais, selain Banda Hilir, beberapa kawasan lain turut dijangka menjadi lokasi tumpuan pengunjung termasuk sekitar Ayer Keroh, Tanjung Bidara, Masjid Tanah dan Tasik Chinchin, Jasin.

“Justeru itu kita meminta semua PBT supaya bersedia di kawasan tumpuan pelancong ini bagi memastikan bukan sahaja keceriaan, pengindahan dan kebersihan berada dalam keadaan baik tetapi jugak aspek keselamatan diberi tumpuan.

“Semua PBT juga turut bekerjasama rapat dengan agensi pelancongan bagi memastikan pengunjung yang datang ke Melaka dapat bercuti dalam keadaan selesa selain kemudahan fasiliti awam berada pada tahap terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

166
Kongsi :
Previous post 2,000 TUNAI SOLAT SUNAT AIDILADHA DI KEM TERENDAK
Next post BAYI BERUSIA 11 BULAN DITEMUKAN MAUT TERLANGKUP DALAM BALDI