
AIDILADHA: NIKMAT MELAKA SAYANG RAKYAT DIRASAI WARGA SERI NEGERI
SERI NEGERI 30 Mei – Dasar Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) terus dizahirkan pentadbiran Kerajaan Negeri sempena Aidiladha tahun ini.
Ia menerusi agihan daging korban kepada warga Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM), petugas keselamatan dan pembersihan yang berkhidmat di Seri Negeri.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan Norena Jaafar berkata, sumbangan itu secara tidak langsung mencerminkan bahawa kebajikan penjawat awam terus menjadi keutamaan pentadbiran negeri.
Beliau yang juga Ketua Biro Ekonomi dan Sosial, Kelab Sukan dan Kebajikan JKMM menyifatkan program tersebut sebagai bukti nyata memperkukuh amalan dasar MeSRa demi memastikan kesejahteraan seluruh rakyat, termasuk penjawat awam.
“Pihak pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka berharap dengan sumbangan ini, kita dapat menghayati makna sebenar Hari Raya Aidiladha.
“Semoga program murni seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, simbolik serahan daging korban itu telah diadakan di Lobi Blok Bendahari, di sini, pada Jumaat.

Menerusi program itu, sebanyak tiga ekor lembu korban telah disumbangkan secara peribadi oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk diagihkan kepada warga JKMM dan mereka yang berkhidmat di Kompleks Seri Negeri.
Pada masa sama, sebuah syarikat perbankan swasta turut menyumbangkan seekor lagi lembu korban yang merupakan sebahagian tradisi inisiatif tanggungjawab korporat mereka sempena Aidiladha.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


