
PLATFORM MEDIA SOSIAL WAJIB PATUHI KOD BAHARU MULAI ESOK
BANDA HILIR 31 Mei – Penyedia platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia diwajibkan mematuhi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berkuat kuasa 1 Jun 2026.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, kedua-dua kod itu ditetapkan terhadap platform media sosial bagi menangani kandungan memudaratkan dengan lebih pantas selain memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak di ruang digital.
Menurutnya, platform media sosial yang memenuhi syarat sebagai pemegang lesen perlu mengambil tindakan segera terhadap lapan kategori kandungan memudaratkan yang disenaraikan di bawah ONSA.
“Jika mereka memenuhi syarat tersebut, mereka akan dianggap sebagai pemegang lesen dan perlu mematuhi tanggungjawab yang ditetapkan di bawah Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Kota Melaka: Kampung Kita di Dewan Terbuka Taman Laksamana Cheng Ho, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Jelas Nie Ching, antara kandungan yang diberi keutamaan untuk tindakan segera ialah bahan penderaan seksual kanak-kanak (Child Sexual Abuse Material – CSAM) dan penipuan kewangan yang dikategorikan sebagai kandungan berbahaya berkeutamaan tinggi.
Selain itu, katanya, kandungan berbentuk ucapan kebencian, keganasan atau terorisme serta kandungan menggalakkan perbuatan mencederakan diri turut disenaraikan sebagai kandungan memudaratkan di bawah ONSA.
“Kita berharap platform akan mengambil tindakan lebih cepat untuk menurunkan atau membuang kandungan-kandungan ini bagi memastikan internet menjadi ruang yang lebih selamat untuk semua pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata salah satu elemen penting di bawah Kod Pengurangan Risiko ialah keperluan kepada platform untuk mengesahkan identiti pihak yang mahu menyiarkan iklan berbayar.
“Langkah ini diperkenalkan berikutan peningkatan iklan tajaan yang mempromosikan penipuan, perjudian dalam talian serta pelaburan palsu menggunakan identiti tokoh terkenal bagi memperdaya orang ramai.
“Sekarang kita meletakkan tanggungjawab kepada platform media sosial supaya mereka membuat pengesahan identiti pengiklan sebelum iklan diterbitkan,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan akan memberikan tempoh munasabah kepada platform untuk mematuhi tanggungjawab yang ditetapkan, namun berharap kerjasama penuh dapat diberikan bagi memastikan pelaksanaan ONSA berjalan lancar.
“Kita berharap internet dapat menjadi lebih selamat untuk semua pengguna menerusi pelaksanaan akta dan kod-kod baharu ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


