Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: MBMB NAIK TARAF 4 LIF PANGSAPURI UZUR

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 4 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan terus meneliti keperluan menaik taraf fasiliti pangsapuri lama di bawah kawasan pentadbirannya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sentiasa terjamin.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, setakat ini empat projek naik taraf lif telah dilaksanakan di tiga lokasi menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya, daripada jumlah itu, dua projek di Pangsapuri Laksamana Cheng Ho dan Pangsapuri Laksamana 1 telah siap sepenuhnya manakala kerja menaik taraf di Flat Sembilan Tingkat Jalan Bendahara masih dalam pelaksanaan.

“Kita telah menyempurnakan penyerahan lif di dua lokasi di Banda Hilir, namun sebenarnya kita telah melaksanakan kerja menaik taraf empat lif di tiga lokasi dan satu daripadanya masih belum siap sepenuhnya.

“Keseluruhan kos projek ini adalah kira-kira RM1.82 juta dengan setiap lif melibatkan perbelanjaan sekitar RM600,000,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyempurnaan Projek Naik Taraf Fasiliti Pangsapuri sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Kota Melaka: Kampung Kita di Pangsapuri Laksamana 1, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen.

Menurut Shadan, keperluan menaik taraf lif dikenal pasti selepas MBMB menerima maklum balas penduduk bahawa kebanyakan kemudahan tersebut telah berusia kira-kira 30 tahun dan memerlukan perhatian segera.

Katanya, MBMB kemudiannya mengambil inisiatif mendapatkan peruntukan daripada KPKT bagi melaksanakan kerja penambahbaikan tersebut.

“Kita berbincang dengan penduduk dan mendapati lif-lif ini sudah terlalu lama digunakan. Atas inisiatif MBMB, kita mencari peruntukan di peringkat kementerian dan Alhamdulillah KPKT menyalurkan dana untuk kerja naik taraf ini.

“Masih terdapat beberapa pangsapuri lain di bawah pentadbiran MBMB yang agak uzur dan memerlukan perhatian. Kita akan meneliti perkara itu dari semasa ke semasa mengikut keutamaan serta kemampuan peruntukan yang ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3017
Kongsi :
Previous post REMAN SUSPEK KES PEMBUNUHAN MAYAT REPUT DALAM TILAM DISAMBUNG TUJUH HARI LAGI