
WANITA MENINGGAL DUNIA SELEPAS PARAH KERETA DINAIKI TERBABAS DI LPT2
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata polis menerima laporan mangsa, Maziah Che Hassan, 57, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Dungun pada 7.15 malam.
Beliau berkata mangsa yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 bersama empat individu lain terlibat dalam kemalangan tersebut pada 5.15 petang ketika dalam perjalanan menghala ke Kuantan, Pahang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
“Pemandu kenderaan berkenaan dipercayai terlelap semasa memandu menyebabkan ia hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum melanggar penghadang jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan berpusing beberapa kali dan tersangkut pada penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu serta tiga lagi penumpang yang turut mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam Bernama melaporkan seorang wanita cedera putus kaki kiri dari paras lutut selepas SUV dinaiki terbabas di lokasi kemalangan itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


