Sorting by

×

GANDINGAN ‘TOK RAUF’, ‘TOK AJAK’ SINARI PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TELOK MAS 8 Julai – Kejayaan sektor pelancongan yang semakin mendunia dan menggamit jutaan pelancong merupakan hasil visi serta idea luar kotak Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang disifatkan sebagai ‘arkitek’ dalam mewajah Negeri Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pelbagai inisiatif dan produk baharu diperkenalkan Kerajaan Negeri lahir daripada idea dan hala tuju yang digariskan oleh Ab Rauf bagi memastikan Melaka terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Jelas beliau, dalam menterjemahkan idea dan perancangan tersebut, beliau selaku Exco berusaha melakukan yang terbaik sebagai pelaksana sehinggalah impaknya kini dirasai di seluruh negeri.

Abdul Razak berkata, kerjasama erat antara beliau dan Ketua Menteri menjadi faktor penting kepada kejayaan pelbagai program serta inisiatif pelancongan yang dilaksanakan di negeri ini.

Katanya, setiap idea yang diketengahkan akan diperhalusi dan ditambah baik sebelum diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Melaka.

“Saya beranggapan kami mempunyai gandingan kerja yang baik. Ketua Menteri memberikan idea, saya mengolah dan menambah baik idea tersebut supaya dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Alhamdulillah, hasil usaha itu kita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan apabila Melaka merekodkan kehadiran kira-kira 18 juta pelancong dan pengunjung,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, sokongan berterusan daripada Ketua Menteri turut memberi ruang kepada portfolio pelancongan negeri untuk meneroka pelbagai pendekatan baharu dalam memperkukuh jenama Melaka di peringkat nasional dan antarabangsa.

Malah katanya, minat mendalam Ab Rauf terhadap seni, budaya dan warisan turut membantu memperkukuhkan identiti Melaka sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan nilai kebudayaan.

“Ketua Menteri seorang yang berjiwa seni. Kita dapat melihat bagaimana beliau sentiasa memberi penekanan kepada aspek seni, budaya dan warisan dalam pembangunan negeri.

“Antara idea yang diketengahkan adalah usaha memartabatkan budaya berpantun, selain turut mengangkat anak seni negeri ke satu tahap lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post MAIM PINDAHKAN PUSARA EMPAT SEKELUARGA BERUSIA LEBIH 60 TAHUN