Sorting by

×

298,000 BELIA MELAKA ASET PALING BERHARGA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Di sebalik pembangunan pesat sedang digerakkan Kerajaan Negeri, golongan belia dilihat sebagai aset paling berharga dalam menentukan hala tuju Melaka pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka kini mempunyai seramai 298,000 belia berusia antara 15 hingga 30 tahun yang perlu dibimbing, disusun dan diperkasakan agar bersedia menerajui pembangunan negeri.

Menurutnya, kekuatan itu turut diperkukuhkan menerusi 375 persatuan belia aktif di negeri ini yang menghimpunkan lebih 9,700 ahli berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia.

“Masa depan Melaka tidak hanya bergantung kepada perancangan kerajaan, tetapi turut bergantung kepada sejauh mana anak muda bersedia mengambil tempat dalam pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) Peringkat Negeri Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPN Peringkat Negeri Melaka 2026 Datuk VP Shanmugam serta Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Turut hadir, Pengarah Cawangan Pembangunan Kepimpinan Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBS) Laila Nazura Nawi; Pengarah JBS Negeri Melaka Zailani Siran serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa golongan belia diterjemahkan menerusi peruntukan hampir RM70 juta sepanjang tiga tahun beliau menerajui pentadbiran negeri.

Katanya, peruntukan itu digunakan bagi melaksanakan lebih 350 program pembangunan belia, memperkasa fasiliti sukan serta menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada generasi muda di Melaka.

“Kerajaan Negeri turut menubuhkan Ahli Dewan Undangan Negeri Belia sebagai platform khas bagi memastikan suara, pandangan dan aspirasi anak muda terus diberi tempat dalam arus pembangunan negeri.

“Pelaburan terhadap pembangunan belia hari ini merupakan jaminan kepada kemajuan dan kemakmuran Melaka pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post GANDINGAN ‘TOK RAUF’, ‘TOK AJAK’ SINARI PELANCONGAN MELAKA