Sorting by

×

BELIA PERLU SEMAT, HAYATI PRINSIP MELAKA SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Penerima Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) diingatkan supaya tidak menganggap pengiktirafan diterima sebagai kemuncak kejayaan, sebaliknya amanah untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, belia perlu memanfaatkan pengiktirafan itu dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan di lapangan, selain membawa cadangan serta membantu memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat.

Malah, beliau juga meminta agar setiap anak muda di Melaka memahat dan menyelami nilai gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dalam jiwa masing-masing.

“Biar setiap program dibawa ada nilai kepada masyarakat dan setiap langkah kepimpinan belia bukan hanya mengangkat nama persatuan tetapi turut mengangkat kehidupan rakyat di sekelilingnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) Peringkat Negeri Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPN Peringkat Negeri Melaka 2026 Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Turut hadir Pengarah Cawangan Pembangunan Kepimpinan Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBS) Laila Nazura Nawi; Pengarah JBS Negeri Melaka Zailani Siran serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata menerusi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, beliau mahu lebih ramai anak muda turun padang bersama Kerajaan Negeri bagi menyantuni masyarakat.

“Penglibatan ini penting bagi memastikan belia bukan sekadar menjadi peserta program, malah rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan aspirasi rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

126
Kongsi :
Previous post 298,000 BELIA MELAKA ASET PALING BERHARGA – KM
Next post OH MY HEALTH! CARNIVAL 2026 KEMBALI, SASAR 5,000 PENGUNJUNG