Sorting by

×

BULATAN SOLOK DUKU KURANGKAN KESESAKAN SEHINGGA 75 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

LENDU 10 Julai – Pelaksanaan sistem bulatan atau ‘roundabout’ di persimpangan Solok Duku Jalan Padang Kemunting berjaya melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan sehingga 75 peratus dalam tempoh dua hari percubaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penambahbaikan itu dibuat bagi menggantikan sistem lampu isyarat yang sebelum ini menjadi antara punca kesesakan teruk dari arah Sungai Udang menghala ke Masjid Tanag.

Menurut beliau, hasil tinjauan dan kajian yang dijalankan mendapati jalan tersebut digunakan lebih 28,000 kenderaan setiap hari, dengan kira-kira 2,000 kenderaan melalui persimpangan itu dalam tempoh sejam.

“Dalam tempoh dua hari bulatan ini dilaksanakan kita telah melihat satu perubahan yang amat positif.

“Hasil pemantauan dan maklum balas yang diterima menunjukkan bulatan ini berjaya mengurangkan kesesakan sehingga 75 peratus, sekali gus melancarkan aliran trafik di kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau hari kedua pelaksanaan naik taraf bulatan di persimpangan Solok Duku bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, projek naik taraf bulatan tersebut oleh JKR Negeri Melaka dijangka siap sepenuhnya pada 31 Ogos depan dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah kira-kira RM800,000.

Jelas beliau, walaupun ia masih di peringkat percubaan, namun penambahbaikan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Pastinya aspek keselamatan menjadi keutamaan JKR kepada semua pengguna jalan raya dan sebarang penambahbaikan akan dibuat mengikut situasi serta keadaan yang memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post RM67 JUTA SELESAKAN WARGA TELOK MAS
Next post 223 ADUAN RAKYAT LENDU SELESAI, BUKTI AMANAH DITUNAIKAN