Sorting by

×

JELAJAH KETUA MENTERI SEJAHTERAKAN WARGA LENDU

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

LENDU 10 Julai – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membawa impak cukup besar dalam mensejahterakan kehidupan warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu apabila pelbagai inisiatif dan sumbangan telah disalurkan.

Siri jelajah itu membawa makna besar bukan sahaja dalam sudut pembangunan, bahkan turut merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan dan keagamaan demi masyarakat di kawasan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan yang diberikan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasakan dan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Menurut beliau, antara sumbangan terbesar yang disalurkan ialah peruntukan RM50,000 bagi kerja-kerja baik pulih lapan buah kediaman di DUN Lendu.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut menyediakan kemudahan lapan kerusi roda bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Lendu serta empat katil pesakit bernilai RM10,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk kegunaan penduduk yang memerlukan.

“Malah, dalam jelajah ini juga, kita turut menyantuni keperluan warga Lendu dalam pelbagai sudut bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Lendu di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Dalam aspek pendidikan pula, Ab Rauf berkata, sumbangan RM2,000 telah disalurkan kepada Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) DUN Lendu dan Tadika KEMAS Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, selain Maahad Tahfiz DUN Lendu pula menerima sumbangan RM1,500.

Beliau berkata, institusi agama di kawasan itu turut menerima perhatian apabila Surau Kem 96 Depot Pangkalan Peluru menerima sumbangan RM1,500 manakala masjid di DUN Lendu pula menerima RM2,000.

Pada masa sama, beliau turut menyerahkan kunci kediaman Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada seorang penerima memerlukan di Kampung Baru Lendu.

“Inilah antara detik yang memberi makna besar kepada jelajah kita apabila usaha kerajaan bukan sekadar dapat dilihat, tetapi benar-benar membuka pintu kepada kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera,” katanya.

Menurut Ab Rauf, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan sekadar platform mendekati rakyat, sebaliknya menjadi medan untuk memastikan bantuan dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan terus kepada golongan yang memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1169
Kongsi :
Previous post 223 ADUAN RAKYAT LENDU SELESAI, BUKTI AMANAH DITUNAIKAN
Next post NAIK TARAF JALAN KAMPUNG AIR LIMAU-BANDAR BARU MASJID TANAH LANCAR