Sorting by

×

MASJID BAHARU DUN KUALA LINGGI PERLUKAN DANA RM12 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LINGGI 11 Julai – Sebuah masjid baharu yang bakal menjadi masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi memerlukan dana RM12 juta untuk direalisasikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah berkata, tapak pembinaan di Kampung Baru berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kuala Sungai Baru telah dikenal pasti dan proses kutipan dana sedang giat dijalankan.

Katanya, ketika ini pihaknya turut mempromosikan tabung pembinaan masjid itu menerusi pelbagai platform bagi menggalakkan orang ramai menyumbang.

“Kita sudah mempunyai lokasinya, namun kita masih memerlukan dana bagi membina sebuah masjid yang lebih selesa untuk penduduk,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Kuala Linggi, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rosli yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, pihaknya baharu menerima kelulusan dan membuka tabung untuk mengutip dana bagi pembinaan masjid baharu tersebut pada 3 Julai lalu.

“Saya berharap masyarakat di Melaka dan seluruh negara dapat bersama-sama menyumbang demi merealisasikan hasrat ini, sekali gus DUN Kuala Linggi dapat membina masjid baharu untuk keselesaan masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT RAIH SOKONGAN ANAK MUDA KUALA LINGGI
Next post ‘MULA MELAKA’ SOKONG USAHAWAN TVET DENGAN DANA RM1 JUTA