
‘MULA MELAKA’ SOKONG USAHAWAN TVET DENGAN DANA RM1 JUTA
AYER KEROH 11 Julai – Kerajaan Negeri memperkenalkan Program MULA Melaka sebagai inisiatif baharu bagi memperkasa usahawan tekno dalam kalangan alumni Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program itu diwujudkan bagi memperkasa alumni TVET untuk memulakan dan mengembangkan perusahaan berasaskan kemahiran, teknologi serta inovasi.
Ab Rauf berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan Dana Pembangunan Tekno-Usahawan TVET berjumlah RM1 juta sebagai geran permulaan kepada usahawan yang layak.
“Dana ini akan membantu usahawan memperoleh peralatan asas, memperkukuh aspek pemasaran selain melengkapkan keperluan pensijilan dan pelesenan perniagaan.
“Kita memberikan ruang kepada anak-anak TVET yang mahu memulakan perniagaan dan pada masa sama membimbing mereka sehingga mampu berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival TVET Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Kerajaan Negeri turut memperluaskan inisiatif pemerkasaan usahawan TVET menerusi Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.
Katanya, sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi penyaluran sumbangan peralatan kepada 56 bengkel motosikal usahawan muda yang terpilih di seluruh negeri.
“Segala dasar, pelaburan dan inisiatif dilaksanakan ini bertujuan memastikan anak-anak Melaka memperoleh pekerjaan berkualiti, membina kehidupan yang lebih sejahtera serta kembali menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


