Sorting by

×

PINDAAN ADUN LANTIKAN PENUHI KOMITMEN MANIFESTO BN

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 pada 2021 yang perlu dilaksanakan sebelum berakhirnya penggal pentadbiran.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata cadangan pindaan itu dibuat bagi memenuhi komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat, selain hanya menyediakan ruang dalam Perlembagaan Negeri dan bukannya bertujuan melantik sehingga tujuh Adun seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Menurutnya, pindaan Perlembagaan itu hanya memperuntukkan pelantikan Adun lantikan tidak melebihi tujuh orang dan bukannya mewajibkan kerajaan melantik kesemua jumlah berkenaan.

“Perlembagaan menyatakan tidak melebihi tujuh. Itu tidak bermaksud mesti melantik tujuh orang. Satu pun boleh, dua pun boleh, tiga pun boleh, malah tidak melantik langsung pun boleh. Apa yang sedang dilakukan ketika ini hanyalah pindaan Perlembagaan,” katanya.

“Manifesto itu perlu diselesaikan. Sama seperti setiap Exco mempunyai manifesto masing-masing yang perlu dilaksanakan, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab untuk menyempurnakan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau mengulas usul pindaan Perlembagaan Negeri yang dibentangkan pada Persidangan DUN semalam serta tindakan empat Adun Pakatan Harapan (PH) yang mengumumkan keluar daripada pentadbiran Kerajaan Negeri.

Rais yang juga Timbalan Pengerusi BN Melaka turut menjelaskan sebarang perkara berkaitan elaun, hak mengundi dan peranan Adun lantikan akan diperincikan kemudian serta tertakluk kepada sama ada pelantikan dibuat atau tidak pada masa akan datang.

“Ramai yang bertanya mengenai elaun, hak mengundi dan sebagainya. Semua itu akan dibincangkan dan apa yang sedang dibincangkan ketika ini hanyalah pindaan Perlembagaan. Sama ada pelantikan dibuat atau tidak, ia tertakluk kepada keputusan apabila tiba masanya serta proses pewartaan yang berkaitan. Kita tidak mahu menghantar isyarat yang salah kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menghormati pendirian DAP atas semangat demokrasi namun menjelaskan wakil parti itu sebelum ini telah menyatakan pendirian mereka yang tidak bersetuju dalam mesyuarat pre-council, manakala terdapat pemimpin lain dalam PH yang pernah mencadangkan pelantikan Adun lantikan.

“Kalau pihak sebelah sana tidak bersetuju, itu hak mereka. Mereka mahu menarik diri daripada kerajaan juga itu pendirian mereka. Namun kita perlu berlaku jujur terhadap perkara ini kerana sebelum ini juga pernah ada cadangan mengenai Adun lantikan daripada pemimpin PH,” katanya.

Mengulas lanjut, Rais berkata Kerajaan Negeri kekal memberi fokus terhadap agenda pembangunan dan kebajikan rakyat sehingga penghujung penggal pentadbiran.

“Kami tidak berada dalam keadaan defensif atau menyerang mana-mana pihak. Fokus kami ialah memastikan rakyat memahami tujuan sebenar pindaan ini dan pentadbiran negeri terus berjalan seperti biasa demi kepentingan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

287
Kongsi :
Previous post DUN MELAKA LULUS USUL PERKUKUH TADBIR URUS SEKTOR PERHUTANAN
Next post MELAKA UMUM BIL AIR PERCUMA KEPADA MANGSA BANJIR