
KARNIVAL RIANG RIA ISLAM: MAIM DEDAH ILMU FARDU AIN UNTUK ANAK ASNAF
AYER KEROH 16 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menganjurkan Karnival Riang Ria Islam (KARIM) Tunas Riang Majlis Agama Islam Melaka 2026 pada 1 Ogos ini.
Program itu dianjurkan khusus buat anak-anak penerima bantuan MAIM berusia antara enam hingga sembilan tahun.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, karnival tersebut akan diadakan di Masjid Cina Melaka, Kampung Krubong bermula jam 8 pagi hingga 2 petang, dengan sesi pendaftaran peserta bermula seawal jam 8 pagi.
Jelas MAIM, penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai ilmu fardu ain serta membentuk sahsiah dan akhlak mulia menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang menyeronokkan.
“Karnival ini diadakan sebagai platform untuk menyemai minat anak-anak terhadap pendidikan Islam dalam suasana yang ceria dan santai, di samping mengeratkan hubungan sesama peserta serta memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna.
“Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIM dalam memastikan kebajikan dan pembangunan sahsiah anak-anak penerima bantuan terus diberi perhatian secara holistik,” menurut kenyataan itu.
Menurut MAIM, penyertaan adalah terhad kepada 150 peserta terawal, di mana yuran adalah percuma dan peserta akan menerima elaun kehadiran berserta makanan dan minuman sepanjang program berlangsung.
Tambah kenyataan itu, pengisian program akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dan penceramah bertauliah dalam suasana yang selesa serta mesra kanak-kanak.
Penerima bantuan MAIM berminat boleh membuat pendaftaran awal melalui pautan: https://forms.gle/3sXACzDreacAiRjH6 atau mengimbas kod QR pada poster.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


