Sorting by

×

RM750,000 PENUHI KEPERLUAN RAKYAT DALAM 5 SIRI JELAJAH KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MERLIMAU 18 Julai – Kerajaan Negeri telah memperuntukkan kira-kira RM750,000 bagi memenuhi pelbagai keperluan rakyat menerusi lima siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, siri jelajah itu telah bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sebelum bergerak ke DUN Bemban dan seterusnya ke DUN Kuala Linggi, Lendu dan Merlimau.

Katanya, bantuan yang disalurkan bukan sekadar pemberian barangan, sebaliknya memberi harapan kepada rakyat untuk kembali berdikari, mencari rezeki dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat diwujudkan bagi membolehkan Ketua Menteri mendekati kehidupan sebenar rakyat di lapangan.

“Jika Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) membuka ruang Kerajaan Negeri meneliti aduan rakyat, jelajah ini pula membolehkan saya sendiri melihat keadaan sebenar masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Jasin: Kampung Kita DUN Merlimau di Dataran Orang Kampung, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menerusi jelajah itu beliau dapat mengenal pasti pelbagai keperluan rakyat termasuk ada yang memerlukan motosikal roda tiga, kerusi roda elektrik, bantuan kepada nelayan serta penternak.

Jelasnya, wakil rakyat perlu memahami kehidupan sebenar masyarakat sebelum memikul amanah sebagai pemimpin.

“Prinsip ini sentiasa diingatkan kepada semua wakil rakyat supaya memahami denyut nadi rakyat. Sebelum kita mahu menjadi wakil rakyat, kita mesti terlebih dahulu tahu bagaimana rasanya menjadi rakyat.

“Atas prinsip ini Kerajaan Negeri turun padang dari kampung ke bandar, mengetuk pintu rumah ke rumah bagi memastikan tiada seorang pun daripada lebih 1.05 juta rakyat Melaka tercicir daripada perhatian, khidmat dan pembelaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post PROJEK BERNILAI LEBIH RM243 JUTA RANCAKKAN PEMBANGUNAN PARLIMEN JASIN
Next post WRUR MERLIMAU: ADUAN RAKYAT SELESAI DALAM 24 JAM