
DARI LESONG BATU KE PENTAS NASYID NEGARA, SOFWATUL ITTIHAD HARUMKAN NAMA MELAKA
MACHAP JAYA 21 Julai – Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi apabila kumpulan nasyid Sofwatul Ittihad dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lesong Batu mengukir sejarah tersendiri selepas dinobatkan sebagai johan Mahrajan al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (MQNKSS) Peringkat Kebangsaan 2026.
Kejayaan itu sekali gus mengharumkan nama Melaka apabila kumpulan yang mewakili negeri bersejarah ini berjaya menewaskan 15 sekolah rendah lain dari seluruh negara pada pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berlangsung pada penghujung Jun lalu.
Lebih membanggakan, Sofwatul Ittihad bukan sahaja membawa pulang gelaran johan, malah turut mencipta kejayaan menerusi lima lagi pengiktirafan iaitu Solo Terbaik, Lagu Kontemporari Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Persembahan Terbaik serta Anugerah Perkusi Berkumpulan Terbaik.
Jurulatih utama Sofwatul Ittihad, Muhammad Haziq Abu Shah berkata, kejayaan itu amat bermakna buat seluruh warga SK Lesong Batu selepas melalui pelbagai cabaran dan persiapan rapi sejak tahun lalu.
Menurutnya, perjalanan kumpulan itu ke pentas kebangsaan bukan mudah apabila mereka perlu mengekalkan momentum selepas tiga tahun berturut-turut berjaya melayakkan diri ke peringkat tertinggi pertandingan tersebut.
“Kami warga SK Lesong Batu, terutama guru yang terlibat, tidak pernah menyangka akan mencapai kemenangan ini. Pastinya kejayaan ini menjadi satu kenangan yang akan dikenang sampai bila-bila.
“Persiapan kali ini dibuat secara terperinci sejak September tahun lalu dan kami mengambil tempoh yang panjang untuk memastikan murid benar-benar bersedia dari segi vokal, persembahan serta permainan perkusi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Muhammad Haziq berkata, kejayaan itu turut didorong komitmen tinggi jurulatih, guru-guru, murid serta sokongan ibu bapa yang sentiasa bersama-sama membantu sepanjang persiapan pertandingan.
Katanya, cabaran utama yang dihadapi ialah mengimbangi jadual latihan dengan komitmen akademik murid terutama apabila mereka turut perlu memberi tumpuan kepada Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
“Selain melatih mereka menyanyi dan bermain perkusi, kita mahu membentuk anak-anak ini menjadi insan yang mempunyai akhlak baik, berdisiplin dan berbudi bahasa.
“Kejayaan memenangi pertandingan mungkin satu pencapaian, tetapi lebih penting ialah proses membina sahsiah dan keyakinan diri mereka sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Lesong Batu, Azahri Ahmad berkata, penyertaan dalam pertandingan berkenaan bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya sebahagian daripada usaha sekolah melahirkan generasi yang seimbang dari aspek ilmu, sahsiah dan kemahiran.
Menurut beliau, pihak sekolah kini memberi perhatian kepada pembangunan pelapis baharu bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan Sofwatul Ittihad pada masa akan datang.
“Kita sudah merancang untuk membangunkan pelapis supaya kualiti kumpulan Sofwatul Ittihad dapat dikekalkan. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk guru, murid, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka serta Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah.
“Ia membuktikan dengan sokongan dan komitmen bersama, sekolah mampu melahirkan murid yang berjaya di peringkat kebangsaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


