Sorting by

×

MITC HOTEL MERIAHKAN AKSI FINAL PIALA DUNIA, TAWAR PENGALAMAN EKSKLUSIF

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 21 Julai – MITC Hotel Melaka mencipta suasana istimewa apabila menganjurkan program Siaran Langsung Perlawanan Akhir Piala Dunia 2026 di Asahan Coffee, MITC Hotel, awal pagi Isnin.

Program yang bermula tengah malam hingga 6 pagi itu berjaya menghimpunkan kira-kira 50 tetamu terdiri daripada pelanggan hotel, pengunjung awam, kakitangan MITC Hotel serta tetamu kehormat bagi menyaksikan detik kemuncak kejohanan bola sepak berprestij dunia itu dalam suasana selesa dan meriah.

MITC Hotel dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya untuk menyediakan pengalaman hiburan dan santapan yang lebih menarik kepada pelanggan, selain menjadikan Asahan Coffee sebagai lokasi pilihan bagi acara tontonan sukan secara langsung.

Menurut kenyataan itu, program tersebut turut menjadi platform memperkukuhkan hubungan bersama pelanggan dan rakan strategik menerusi penganjuran acara berimpak tinggi yang menggabungkan elemen sukan, hospitaliti dan jaringan kerjasama.

“MITC Hotel sentiasa komited menyediakan pengalaman unik kepada para pelanggan dengan menganjurkan aktiviti yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada tetamu hotel, malah membuka ruang kepada komuniti untuk bersama-sama menikmati acara bertaraf antarabangsa dalam suasana yang lebih dekat dan eksklusif.

“Kerjasama strategik bersama Mitsubishi EonMart Melaka turut menjadikan program ini lebih menarik apabila tiga buah kenderaan Mitsubishi dipamerkan kepada para pengunjung sepanjang acara berlangsung,” kata kenyataan itu.

Menurut MITC Hotel, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa baucer penginapan dua hari satu malam di hotel berkenaan bernilai RM750, selain dua baucer penginapan di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan serta hadiah saguhati daripada pihak Mitsubishi dan MITC Hotel.

Penganjuran program seumpama itu membuktikan komitmen MITC Hotel dalam memperluaskan peranan sebagai hab hospitaliti dan lokasi pilihan untuk pelbagai acara komuniti, korporat serta hiburan di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post DARI LESONG BATU KE PENTAS NASYID NEGARA, SOFWATUL ITTIHAD HARUMKAN NAMA MELAKA
Next post MAIM SUMBANG KIT MAKANAN BANTU ASNAF PANTAI KUNDOR