Sorting by

×

WARISAN MELAKA TARIK MINAT MUZIUM SHAANXI, CHINA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 22 Julai – Serpihan porselin ditemui di perairan Pulau Melaka bukan sekadar artifak bersejarah, ia sebenarnya memiliki nilai lebih besar iaitu bukti hubungan perdagangan dan persahabatan antara Melaka dan China sejak ratusan tahun lalu.

Warisan sejarah itu kembali menghubungkan kedua-dua negara apabila Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menerima kunjung hormat delegasi Muzium Sejarah Shaanxi, China pada 17 Julai lalu bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang arkeologi, penyelidikan, pemeliharaan serta perkongsian ilmu warisan.

Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, kunjungan itu menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi muzium melalui pertukaran kepakaran dan pengalaman dalam bidang permuziuman serta arkeologi.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penyelidikan dan pemeliharaan khazanah sejarah, malah membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan lebih meluas mengenai hubungan sejarah antara Melaka dan China.

“Selain itu kita juga dapat berkongsi kepakaran dalam bidang arkeologi, konservasi dan penyelidikan, sekali gus memperkayakan usaha memelihara warisan sejarah untuk tatapan generasi akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada kunjungan itu, delegasi dari Shaanxi turut mendengar taklimat khas disampaikan Jabatan Warisan Negara mengenai arkeologi di Pulau Melaka dan kemudian meninjau koleksi serpihan porselin yang ditemui di kawasan berkenaan menerusi kerja-kerja carigali arkeologi kapal karam (shipwreck).

Penemuan serpihan porselin itu memperlihatkan bukti jelas bahawa Melaka pernah menjadi pelabuhan penting dalam rangkaian perdagangan maritim dunia yang menghubungkan pelbagai tamadun, termasuk China.

Erne berharap kunjungan itu menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama lebih erat antara kedua-dua institusi dalam memperkasa penyelidikan, pemeliharaan serta perkongsian khazanah warisan sejarah.

“Saya yakin kerjasama ini mampu mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan China, selain membuka lebih banyak peluang penyelidikan dan perkongsian ilmu berkaitan warisan sejarah pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post MAIM SUMBANG KIT MAKANAN BANTU ASNAF PANTAI KUNDOR
Next post MAIM PERMUDAH URUSAN BANTU PENERIMA BAITULMAL UZUR