Sorting by

×

MAIM PERMUDAH URUSAN BANTU PENERIMA BAITULMAL UZUR

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Julai – Penerima bantuan baitulmal yang uzur atau tidak berupaya untuk hadir ke kaunter Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi urusan semakan bantuan boleh menghubungi MAIM menerusi panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi ‘WhatsApp.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penggunaan medium perhubungan semasa akan memudahkan lagi mereka dalam kesukaran khususnya yang mengalami keuzuran.

Jelasnya, bagi memberikan perkhidmatan lebih menyeluruh kepada umat Islam di Melaka, medium perhubungan antara MAIM dan orang ramai juga disesuaikan dengan zaman serta perkembangan teknologi semasa.

“Pendekatan ini dilaksanakan bagi memastikan tiada penerima bantuan yang tercicir daripada mendapat bantuan hanya kerana kekangan kesihatan atau pergerakan.

“Kita juga turun padang membuat lawatan ke rumah penerima kerana ada antara mereka yang sudah tidak larat untuk hadir ke pejabat agama bagi urusan semakan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan menziarahi penerima bantuan MAIM, Mohd Noor Mohd Yusof yang turut dihadiri Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad di Kampung Hulu, di sini, semalam.

Rahmad berkata, Mohd Noor yang tinggal bersendirian kini menerima bantuan makanan bulanan, bantuan pesakit kronik serta bantuan sewa rumah sebanyak RM350 sebulan yang ditanggung MAIM kerana kaki kanannya dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis.

“Bantuan Baitulmal diberikan mengikut tempoh tertentu sebelum semakan semula dibuat bagi memastikan penerima masih memenuhi syarat kelayakan.

“Bagi mereka yang masih berada dalam keadaan memerlukan seperti Mohd Noor, bantuan akan diteruskan supaya dapat meringankan beban dan membantu menampung keperluan harian mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post WARISAN MELAKA TARIK MINAT MUZIUM SHAANXI, CHINA
Next post TANAMKAN JATI DIRI BIJAK LAKSANA TUAH, BERANI LAKSANA JEBAT DALAM KALANGAN ANAK MELAKA