
MPAG UBAH WAJAH TANDAS AWAM BERTARAF ‘BMW’
REMBIA 22 Julai – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus memperkukuh budaya kebersihan awam menerusi penganjuran Kempen Tandas Bersih MPAG 2026 yang memberi penekanan terhadap penyediaan tandas awam berstatus BMW (Bersih, Menawan dan Wangi).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kebersihan tandas awam menjadi antara kayu ukur utama dalam mencerminkan tahap disiplin, nilai sivik dan imej sesebuah masyarakat.
Katanya, tandas awam yang bersih, terurus dan selesa bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna, malah meningkatkan keyakinan pelawat terhadap mutu penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Atas kesedaran itulah MPAG telah mengangkat satu pencalonan bagi menyertai Kempen Tandas Bersih MPAG bagi tahun 2026.
“Kempen ini bertujuan memperkukuh pengurusan tandas awam, meningkatkan tahap kebersihan dan penyelenggaraan sehingga mencapai penarafan empat bintang dan ke atas serta mewujudkan tandas berstatus BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi.
“Pada masa sama kempen ini mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab menggunakan kemudahan awam dengan lebih berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kempen Tandas Bersih Majlis Perbandaran Alor Gajah Tahun 2026 di Meden Selera Kelemak, di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin serta lain-lain kenamaan.
Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen, MPAG dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka dan SWM Environment telah mengadakan sesi taklimat kepada operator pembersihan pada 20 Mei lalu bagi memperkukuh aspek pengurusan serta penyelenggaraan tandas awam.
Selain itu, ujar beliau, pelbagai aktiviti promosi turut dilaksanakan menerusi edaran risalah, pemasangan bunting dan hebahan di media sosial rasmi MPAG sempena Hari Tanpa Kenderaan MPAG di Dataran Keris pada 27 Jun, Majlis Penutupan Konvoi Pemuda Alor Gajah 3.0 di Pantai Tanjung Bidara pada 4 Julai serta program infestasi lalat di Pasar Menggong, Alor Gajah.
“Bagi memperkukuh penglibatan komuniti, MPAG turut menganjurkan gotong-royong di tandas awam Medan Selera Kelemak pada 18 Julai lalu, selain beberapa kerja pembaikan kecil turut dilaksanakan bagi memastikan kemudahan itu sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan selesa digunakan orang ramai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


