
MENARA TAMING SARI KONGSI KASIH, SENTUH HATI PENGHUNI RUMAH SERI KENANGAN
PAYA RUMPUT 22 Julai – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheng apabila menerima kunjungan kakitangan Menara Taming Sari yang hadir bukan sekadar membawa sumbangan, malah meluangkan masa beramah mesra dan berkongsi kasih bersama mereka.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu digerakkan Kelab Kebajikan dan Sukan Menara Taming Sari sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni golongan memerlukan, khususnya penghuni institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, program itu menjadi platform kepada warga kerja MTSB untuk mendekati masyarakat serta menyemai nilai keprihatinan dan semangat kesukarelawanan.
“Kami bukan sahaja hadir untuk menyampaikan sumbangan, tetapi ingin meluangkan masa bersama penghuni, beramah mesra dan berkongsi kasih sayang dengan mereka.
“Pada kesempatan ini, kami turut menyumbangkan dua unit televisyen dan beberapa kipas bagi membantu meningkatkan keselesaan penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program Menyantuni dan Beramah Mesra Dengan Warga Emas Seri Kenangan, di sini, hari ini.
Menurut Nur Azan, MTSB akan terus memperluaskan pelaksanaan program CSR seumpamanya dengan menyantuni lebih banyak institusi kebajikan serta golongan memerlukan di negeri ini.
Katanya, pihaknya turut tersentuh apabila dimaklumkan terdapat penghuni RSK Cheng yang berhasrat untuk menaiki Menara Taming Sari.
“Kami amat berbesar hati untuk menjemput mereka menikmati pengalaman menaiki Menara Taming Sari pada masa akan datang.
“Program seperti ini akan terus diperkasakan kerana kami percaya kehadiran dan perhatian yang diberikan mampu membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan, selain mengeratkan hubungan antara MTSB dengan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan MTSB dalam aktiviti kemasyarakatan tidak terhad kepada satu institusi sahaja, malah akan diteruskan selaras aspirasi Gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRA) yang menekankan nilai kebersamaan, keprihatinan dan kesejahteraan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

