MPHTJ PELAJARI BAHASA ISYARAT DEKATI KOMUNITI OKU

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Komunikasi yang mudah difahami menjadi kunci kepada perkhidmatan lebih inklusif terutama dalam memastikan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) menerima layanan yang sewajarnya.

Menyedari kepentingan itu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memperkasa kemahiran warga kerjanya menerusi Kursus Inklusiviti dalam Tindakan: Interaksi Profesional Bersama OKU melalui Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang diadakan selama dua hari pada 13 dan 14 Julai lalu.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, kemahiran berkomunikasi dalam kalangan petugas barisan hadapan bukan sekadar melibatkan penyampaian maklumat, malah merangkumi keupayaan memahami dan memenuhi keperluan pelanggan termasuk golongan OKU.

“Mungkin tidak semua peserta akan menjadi pakar dalam bahasa isyarat, namun kefahaman dan kemahiran asas yang dipelajari mampu memberikan impak besar dalam meningkatkan keyakinan ketika berinteraksi dengan OKU.

“Saya harap para peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kemahiran diperoleh sepanjang kursus ini serta menterjemahkannya dalam tugas dan kehidupan seharian demi melahirkan warga yang berintegriti, berwibawa dan berjiwa masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kursus Inklusiviti dalam Tindakan: Interaksi Profesional Bersama OKU melalui BIM di Bilik Latihan Kompleks Melaka Mall pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin yang turut dihadiri Ahli Majlis (Wakil OKU) MPHTJ CLR M.S. Richard.

WhatsApp Image 2026 07 22 at 1.59.44 PM (1)
MOHD Faizal (duduk tengah) bergambar bersama warga MPHTJ yang hadir pada Kursus Inklusiviti dalam Tindakan: Interaksi Profesional Bersama OKU melalui Bahasa Isyarat Malaysia (BIM). Foto MPHTJ

Menurutnya, kerjasama Koperasi Usahawan Orang Pekak Melaka Berhad (KUOPeM) dalam menyediakan tenaga pengajar amat dihargai kerana membantu warga kerja MPHTJ memahami dan mempelajari asas BIM.

“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu serta kemahiran, malah memperkukuh hubungan antara organisasi dengan komuniti OKU dalam usaha mewujudkan masyarakat lebih inklusif.

“Kursus ini membantu warga kerja memahami cabaran komunikasi yang dihadapi komuniti OKU, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan dilakukan dengan lebih mesra dan berkesan,” katanya.

Sapiah berkata, sebagai sebuah organisasi memberikan perkhidmatan kepada rakyat, MPHTJ sentiasa berusaha memastikan setiap pelanggan menerima layanan terbaik tanpa mengira latar belakang atau keupayaan masing-masing.

“Melalui inisiatif seperti ini, MPHTJ berharap jurang komunikasi antara petugas dan komuniti OKU dapat dikurangkan, selain memperkukuh budaya perkhidmatan awam yang lebih prihatin dan inklusif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post PENJUAL KEROPOK DIDAKWA CEROBOH, SELUDUP TEMBAKAU KE DALAM PENJARA GUNA DRON
Next post MENARA TAMING SARI KONGSI KASIH, SENTUH HATI PENGHUNI RUMAH SERI KENANGAN