
203,000 AKAUN E-MEL RAKYAT BERJAYA DIDAFTARKAN
AYER KEROH 23 Julai – Kerajaan Melaka melakar satu lagi sejarah dalam agenda pendigitalan apabila muncul sebagai negeri pertama perkenalkan inisiatif E-Mel Rakyat menerusi domain rasmi @melaka.my sebagai saluran komunikasi tersusun, selamat dan dipercayai.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, e-mel tersebut menyasarkan 85,000 Ketua Isi Rumah di 618 kampung tradisional seluruh Melaka untuk mengaktifkan akaun masing-masing bagi merealisasikan aspirasi ‘1 Rumah, 1 E-Mel Rakyat’.
Katanya, setakat 22 Julai 2026 sebanyak 203,000 akaun E-mel Rakyat berjaya didaftarkan, manakala lebih 193,000 pengguna terdiri daripada murid, guru, ibu bapa dan penjaga, sekali gus membuktikan penerimaan positif masyarakat terhadap inisiatif itu.
“Cabaran utama pada masa kini bukan lagi kekurangan maklumat sebaliknya lambakan pelbagai maklumat daripada pelbagai platform sehingga menyukarkan orang ramai membezakan antara hebahan rasmi dengan maklumat yang tidak sahih atau mengelirukan.
“Kita sendiri pernah menerima aduan daripada rakyat menerima mesej kononnya menawarkan bantuan RM100 daripada Kerajaan Negeri tapi apabila pautan itu dibuka rupa-rupanya ia bukan saluran rasmi, sebaliknya cubaan mendapatkan maklumat peribadi pengguna dan situasi seperti inilah yang mahu kita tangani menerusi E-mel Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menerusi penggunaan domain rasmi setiap rakyat mempunyai satu alamat e-mel yang boleh digunakan untuk menerima pelbagai makluman rasmi daripada Kerajaan Negeri, agensi, institusi pendidikan serta komuniti tanpa perlu bergantung kepada mesej yang disebarkan secara berantai menerusi media sosial.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu bukan bertujuan menggantikan aplikasi komunikasi popular seperti WhatsApp atau Telegram sebaliknya menyediakan satu saluran rasmi yang lebih selamat dan diyakini bagi membolehkan Kerajaan Negeri menyampaikan maklumat penting secara terus kepada rakyat
“Pelancaran hari ini bukanlah noktah, ini adalah permulaan kepada usaha lebih besar dalam membina ekosistem pendigitalan negeri dan apa yang kita mulakan akan diperkukuhkan, apa dirancang akan disempurnakan demi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri menjadi lebih pantas, cekap dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


