ERA BAHARU KAMPUNG DIGITAL BERMULA 2027

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Rakyat Melaka yang terbabit dengan inisiatif Kampung Digital perlu segera menukar alamat kad pengenalan dan menggunakan alamat baharu mereka selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia kerana bermula 2027, segala urusan berkaitan Kerajaan Negeri perlu menggunakan alamat baharu tersebut bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih tersusun, cekap, pantas dan bersepadu.

Jelas beliau, menjelang tahun depan, pelbagai urusan kerajaan telah mula menggunakan sistem digital, termasuklah berkaitan hal ehwal tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lain-lain lagi yang memerlukan kerjasama semua dalam menjayakan agenda digitalisasi tersebut.

“Alhamdulillah, sebanyak 618 kampung tradisional telah kita digitalkan menerusi inisiatif Kampung Digital dan insya-Allah menjelang penghujung tahun ini keseluruhannya akan selesai.

“Selepas kampung-kampung ini didigitalkan, segala urusan Kerajaan Negeri akan diberikan satu kaedah baharu untuk rakyat berurusan secara digital dengan kerajaan.

“Menjelang 2027, mereka yang masih tidak menggunakan alamat Kampung Digital tidak lagi dapat berurusan melalui sistem baharu kerajaan kerana ketika itu sistem e-Tanah telah dilaksanakan sepenuhnya dan sistem PBT juga akan didigitalkan menggunakan alamat Kampung Digital sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran E-Mel Rakyat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.

Menurut Ketua Menteri, pemberian alamat baharu menerusi inisiatif Kampung Digital bukanlah bertujuan menyulitkan rakyat, sebaliknya bagi memastikan setiap urusan dapat diselaraskan dalam satu pangkalan data yang tepat dan seragam.

Katanya, pendekatan itu akan memudahkan pelbagai urusan rasmi termasuk permohonan perkhidmatan kerajaan, pengurusan tanah, urusan pihak berkuasa tempatan serta penyampaian bantuan dan maklumat kepada rakyat.

Pada masa sama, Ab Rauf berkata, inisiatif Kampung Digital turut diintegrasikan dengan pelaksanaan E-Mel Rakyat Negeri Melaka yang kini dilancarkan secara rasmi.

“Integrasi ini bermakna setiap Kampung Digital akan berada dalam satu ekosistem digital yang lengkap. Namun E-Mel Rakyat bukan hanya untuk penduduk Kampung Digital, sebaliknya semua rakyat Melaka layak memiliki alamat e-mel rasmi ini.

“Inilah identiti digital baharu rakyat Melaka yang akan menjadi medium utama penyampaian maklumat dan perkhidmatan kerajaan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1074
Kongsi :
Previous post 203,000 AKAUN E-MEL RAKYAT BERJAYA DIDAFTARKAN
Next post SMK GHAFAR BABA SEKOLAH PERINTIS PENGGUNAAN E-MEL RAKYAT