
SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA 2026 BAKAL GEGAR MELAKA
AYER KEROH 25 Julai – Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 bakal menggegarkan Melaka selama empat hari berturut-turut dengan pelbagai pengisian menarik yang pastinya dinantikan pengunjung.
Acara yang berlangsung pada 6 hingga 9 Ogos depan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput itu menjadi antara program berskala besar yang dianjurkan di Melaka pada tahun ini.
Antara pengisian menarik yang disediakan sepanjang sambutan tersebut ialah Program Pembudayaan Landskap, Kelas Doodle Art, Sukan Rakyat, Pertandingan E-Sport, Aerobikton dan Zumba, Kelas Terrarium serta Program Anda Kitar Kami Bayar.
Turut memeriahkan sambutan adalah Pertandingan Laman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Perlawanan Bola Sepak Persahabatan dan Jualan Rahmah MADANI.
Lebih istimewa, HLN 2026 turut mencipta kelainan menerusi percubaan mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Most Furnitures Made of Wooden Pallet in a Day’.
Kemuncak sambutan ialah Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Ogos dan bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dipilih sebagai hos bagi sambutan tahun ini dengan kerjasama Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


