MELAKA AGROFEST 2026 BAWA TEMA JAGUNG, 60,000 TONGKOL DIAGIH PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Sebanyak 60,000 tongkol jagung manis diagihkan secara percuma kepada pengunjung sempena Melaka Agrofest 2026, sekali gus menjadi antara tarikan utama penganjuran festival berkenaan tahun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jagung diangkat sebagai tema tahun ini berikutan kejayaan sebuah koperasi di Jasin yang mengusahakan tanaman tersebut sehingga mendapat permintaan tinggi di seluruh negara.

Jelas beliau, festival itu bukan sekadar mempromosikan hasil pertanian negeri, malah membuktikan kejayaan usaha memperkasakan sektor agromakanan melalui penglibatan komuniti luar bandar.

“Tema Melaka Agrofest tahun ini ialah jagung kerana kita mahu mengetengahkan kejayaan projek tanaman jagung yang diusahakan secara koperasi oleh orang kampung sendiri.

“Tanaman yang diusahakan itu bukan sahaja merancakkan industri pertanian di negeri ini, bahkan manfaatnya kembali kepada masyarakat kampung melalui peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan perasmian Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib; Pengarah Perikanan Negeri Melaka Saufi Affandi Talib; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid serta lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal berkata, projek tanaman jagung yang diusahakan koperasi tersebut turut menjadi lambang kejayaan komuniti memanfaatkan tanah-tanah kerajaan yang sebelum ini tidak diusahakan.

“Alhamdulillah, hari ini kita sudah dapat melihat hasilnya apabila kawasan tersebut berjaya menghasilkan tanaman jagung yang berkualiti. Ini membuktikan tanah yang tidak dimanfaatkan boleh menjadi sumber pendapatan dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan projek berkenaan menjadi bukti bahawa kerjasama antara Kerajaan Negeri dan komuniti mampu mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar sekali gus memperkukuhkan agenda pembangunan sektor pertanian Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1732
Kongsi :
Previous post MELAKA WONDERLAND TAWAR PROMOSI MERDEKA, BELI 4 TIKET PERCUMA 1
Next post ‘BAWANG MELAKA’ BAKAL DIPERKENALKAN