‘BAWANG MELAKA’ BAKAL DIPERKENALKAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Selepas memperkenalkan Beras Melaka dan mengetengahkan Jagung Melaka, Kerajaan Negeri kini menyasarkan untuk menghasilkan Bawang Melaka menerusi projek tanaman bawang pertama yang sedang diusahakan di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek tanaman bawang itu kini berada di peringkat awal dan dijangka menjadi satu lagi produk pertanian berjenama Melaka sekiranya berjaya mengeluarkan hasil yang memuaskan.

Menurut beliau, usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperluaskan pengeluaran hasil pertanian tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

“Kita sudah ada Beras Melaka dan produk seperti Jagung Melaka. Sekarang kita sedang mengusahakan ladang bawang yang pertama di negeri Melaka di Merlimau.

“Jadi, kita mahu melihat dahulu hasilnya. Jika projek ini berjaya, Insya-Allah selepas ini kita akan ada pula Bawang Melaka untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib; Pengarah Perikanan Negeri Melaka Saufi Affandi Talib; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid serta lain-lain kenamaan.

Mengulas dakwaan bahawa Beras Melaka bukan dihasilkan di negeri ini, beliau menegaskan semua beras yang dipasarkan di bawah jenama tersebut adalah hasil tanaman padi yang ditanam di sawah-sawah di Melaka.

“Beras Melaka ialah beras yang ditanam di tanah sawah dalam Negeri Melaka. Tidak kiralah varietinya MR297 atau apa juga jenisnya, yang penting ia diusahakan oleh pesawah Melaka dan berasal dari negeri ini,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal berkata, Kerajaan Negeri akan terus mengenal pasti potensi tanaman baharu yang sesuai diusahakan di Melaka bagi menambah nilai kepada sektor pertanian serta membuka peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3153
Kongsi :
Previous post MELAKA AGROFEST 2026 BAWA TEMA JAGUNG, 60,000 TONGKOL DIAGIH PERCUMA
Next post BANJIR: SKUAD TOK RAUF GERAKKAN BANTUAN SEGERA, AGIH 2,000 PEK MAKANAN