SAMB LAKSANA PROJEK ‘WASTEWATER TREATMENT PLANT’, PASTIKAN BEKALAN CUKUP HINGGA 2035

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melaksanakan pelbagai langkah bagi memperkukuh sistem bekalan air negeri dan memodenkan perkhidmatan agar perkhidmatan diberikan sentiasa memenuhi keperluan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara langkah dilaksanakan adalah transformasi digital menerusi aplikasi MySAMB, serta pelaksanaan pelbagai projek penambahbaikan loji dan infrastruktur bagi menjamin keperluan bekalan air negeri untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Sejak tiga tahun kebelakangan ini banyak projek dirancang dan mulai 2027, SAMB akan melaksanakan projek ‘Wastewater Treatment Plant’ pertamanya yang melibatkan Kompleks Air Bertam dan Loji Rawatan Air bagi Dissolved Air Floatation (DAF).

“Projek ini berupaya menghasilkan sehingga 20 juta liter air kitar semula bagi menampung permintaan sektor perindustrian di kawasan Batu Berendam,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga SAMB 2026 di Pusat Dagangan antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Timbalan Pengerusi SAMB Datuk Roslan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah SAMB.

Ab Rauf berkata, SAMB tidak menunggu krisis untuk bertindak, sebaliknya sentiasa marancang dari awal bagi memastikan keperluan air Melaka terus mencukupi dan terjamin sehingga tahun 2035.

Menurutnya lebih membanggakan, kualiti air yang dibekalkan oleh SAMB mendapat pengiktirafan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada Januari lalu sebagai yang terbersih dalam negara.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan ketelitian, disiplin dan komitmen tinggi seluruh warga SAMB, malah menetapkan satu penanda aras yang lebih tinggi untuk SAMB terus memastikan setiap titisan air yang dibekalkan kepada rakyat kekal bersih, selamat dan berkualiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post MENCAPAI USIA DUA DEKAD, TRANSFORMASI SAMB JAMIN KEPERLUAN AIR MELAKA
Next post MPHTJ PERKASA BUDAYA TURUN PADANG, TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN