RM10 JUTA PERKASA INFRASTRUKTUR SUKAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Kerajaan Negeri terus memperkasa pembangunan sukan dengan menaik taraf kemudahan sedia ada serta membangunkan infrastruktur sukan baharu di seluruh Melaka menerusi peruntukan melebihi RM10 juta sepanjang tahun 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu merupakan usaha berterusan untuk memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan sukan yang lebih berkualiti sekali gus melahirkan lebih ramai atlet berpotensi.

Katanya, pembangunan sukan tidak boleh terhenti sekadar meraikan kemenangan di gelanggang, sebaliknya perlu disokong dengan penyediaan fasiliti yang lengkap bagi memastikan bakat atlet dapat digilap secara berterusan.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja mahu melihat atlet membawa pulang pingat tetapi turut bertanggungjawab memastikan setiap bakat yang ada terus dibimbing dan diberikan ruang untuk berkembang.

“Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk menaik taraf dewan badminton, pembinaan lapang sasar memanah serta penambahbaikan kemudahan sukan komuniti di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada atlet negeri, malah membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai budaya hidup sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2026 Piala YAB Ketua Menteri dan Peluncuran WRUR DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, malam tadi,

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pembangunan infrastruktur yang lebih sistematik juga diyakini mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi atlet Melaka dalam pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap agenda pembangunan sukan kerana ia bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah mampu membentuk masyarakat yang lebih sihat, berdaya saing dan bersatu.

“Ini bukan noktahnya, ini hanyalah permulaan kepada lonjakan yang lebih besar, selagi diberi amanah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pembangunan sukan, memperluas kemudahan dan membuka lebih banyak peluang demi rakyat untuk rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post MPHTJ PERKASA BUDAYA TURUN PADANG, TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN