MAIM PASTIKAN KUTIPAN ZAKAT SAMPAI KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER LIMAU 24 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memastikan hasil kutipan zakat disalurkan kepada golongan yang memerlukan menerusi pelbagai skim bantuan, termasuk membantu pesakit menanggung kos rawatan.

Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Nor Azmi Hussin berkata, bantuan perubatan antara komponen utama dalam agihan zakat, khususnya bagi mereka yang berdepan keperluan mendesak akibat masalah kesihatan.

Menurutnya, umat Islam yang berkemampuan disarankan menunaikan zakat melalui saluran rasmi bagi membolehkan dana berkenaan diurus dan disalurkan kepada penerima mengikut keperluan.

“Kita sangat menyarankan pembayar-pembayar zakat bayarlah terus ke Zakat Melaka kerana duit ataupun hasil zakat ini kita akan salurkan kepada banyak skim yang kita ada, salah satunya yang terbesar adalah kos perubatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nor Azmi berkata, agihan zakat bukan hanya tertumpu kepada golongan yang dikenal pasti sebagai asnaf, sebaliknya bantuan turut boleh dipertimbangkan berdasarkan keadaan dan keperluan tertentu.

“Penyaluran hasil zakat juga membolehkan bantuan diberikan kepada mereka yang berdepan keperluan mendesak termasuk akibat masalah kesihatan.

“Walaupun ada kategori mereka ini bukan asnaf tetapi disebabkan penyakit, ia boleh menyebabkan mereka sangat memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran zakat melalui saluran yang betul membolehkan MAIM memperluas manfaat agihan kepada lebih ramai individu dan keluarga yang sedang berdepan kesukaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post RM2.25 JUTA DISALUR MENERUSI JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT
Next post INTERNET MUDAH ALIH MELAKA CAPAI 100 PERATUS