
INTERNET MUDAH ALIH MELAKA CAPAI 100 PERATUS
SERI NEGERI 24 Ogos – Capaian internet mudah alih di kawasan berpenduduk di Melaka kini mencapai 100 peratus, membuktikan kesediaan negeri ini berdepan perubahan dunia yang semakin dipacu teknologi dan transformasi digital.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu terus diperkukuh menerusi peluasan rangkaian 5G serta pembangunan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri.
“Melaka mesti berani mempersiapkan diri menghadapi perubahan dunia. Transformasi digital negeri terus diperluas apabila capaian internet mudah alih di kawasan berpenduduk telah mencapai 100 peratus.
“Malah, kekuatan infrastruktur digital Melaka turut diperkukuh menerusi liputan 5G yang kini mencapai 89.9 peratus menerusi rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB) dan 94.1 peratus menerusi rangkaian U Mobile,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, sepanjang tiga tahun menerajui pentadbiran negeri, sebanyak 63 struktur pemancar baharu telah dibina, manakala 303 stesen pemancar dinaik taraf bagi memperkukuh kualiti serta capaian komunikasi.
“Sebanyak 77,774 sambungan gentian optik baharu turut disediakan, menjadikan jumlah keseluruhannya lebih 233,000 sambungan berkapasiti tinggi di premis kediaman dan perniagaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


