PENCAPAIAN ATLET BUKTI PEMBANGUNAN SUKAN MELAKA BERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Kerajaan Negeri terus memperkasa pembangunan belia dan sukan sebagai platform melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berani mencuba serta mampu mengharumkan nama Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian membanggakan atlet Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026 membuktikan perancangan dilaksanakan untuk membangunkan bakat sukan tempatan kian membuahkan hasil.

Katanya, kontinjen Melaka berjaya mengumpul keseluruhan 46 pingat setakat 23 Ogos, membabitkan 19 emas, 12 perak serta 15 gangsa.

“Lebih membanggakan, kontinjen pencak silat yang muncul juara keseluruhan dengan 3 pingat emas, selain kejayaan skuad skuasy wanita Melaka yang menamatkan penantian selama 32 tahun untuk kembali meraih emas acara berpasukan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh atlet, jurulatih, pegawai serta semua pihak yang menjadi tulang belakang kontinjen negeri.

“Semangat inilah yang mahu kita semai dalam jiwa generasi muda Melaka berani mencuba, berani bersaing dan berani mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 Sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri buat julung kalinya juga akan menganjurkan Karnival Anak Muda Melaka X Jom Heboh pada 4 hingga 6 September ini bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Karnival ini dijangka menjadi platform mega kepada hampir 300,000 anak muda Melaka untuk berkarya, meneroka pelbagai peluang dan menyampaikan aspirasi mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post INISIATIF PERKASA KETERJAMINAN MAKANAN MELAKA DAPAT PERHATIAN TUN DR. MOHD ALI
Next post ZIANA ZAIN BERSEMANGAT TERUS HARUMKAN NAMA MELAKA