
TUN DR. MOHD ALI PUJI PENTADBIRAN AB RAUF, LAKSANA INISIATIF DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT
SERI NEGERI 24 Ogos – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Kerajaan Melaka yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas pelaksanana lebih 200 inisiatif pembangunan yang memberikan manfaat kepada kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Tun Dr. Mohd Ali berkata, pencapaian ini mencerminkan keupayan kepimpinan negeri dalam merangka dasar yang inklusif serta melaksanakan agenda pembangunan menyeluruh.
“Pelbagai acara berskala besar peringkat kebangsaan dan antarabangsa berjaya dianjurkan di Negeri Melaka yang antaranya adalah Sambutan Hari Landskap Negara 2026 dan Melaak International Halal Festival.
“Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja meningkatkan imej Melaka di persada nasional dan global, malah memperkukuhkan kedudukan negeri sebagai hab penganjuran acara-acara besar berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Tun Dr. Mohd Ali, pencapaian gemilang Melaka adalah hasil daripada kegigihan berterusan, perancangan strategik yang tersusun serta komitmen padu yang dipimpim Ketua Menteri bersama seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Inilah bukti kesungguhan semua pihak dalam merealisasikan agenda transformasi Melaka ke arah sebuah negeri maju, berdaya saing dan sejahtera. Semoga Yang Amat Berhormat Ketua Menteri bersama barisan kepimpinan negeri terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dan kebijaksanaan untuk terus memacu Melaka melangkah dengan penuh keyakinan ke arah masa depan lebih cemerlang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


