ZIANA ZAIN DIANUGERAH GELARAN DATUK, 1,328 TERIMA DARJAH KEBESARAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2026 pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dalam kenyataan memaklumkan Fadhlina dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

“Turut menerima penganugerahan DGSM adalah Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman.

“Antara penerima lain DGSM adalah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas Datuk Seri Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin,” katanya.

Salhah berkata 56 individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira yang antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut Datuk Wira Mohd Sumali Reduan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Wira M. Kumar, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Wira Ir. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.

Beliau berkata seramai 14 individu dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Al Hambra Juhar, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Suria Kumar A/L Durairaj Johson Paul dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar.

Katanya, penggiat sektor seni tanah air iaitu Datuk Siti Roziana Zain atau Ziana Zain pula tersenarai antara 189 penerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

“Dalam kategori lain, lima individu ditauliahkan Jaksa Pendamai manakala 106 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM).

“Turut dianugerahkan ialah Bintang Cemerlang Melaka (BCM) kepada 151 penerima, Bintang Khidmat Terpuji (BKT) (244 penerima), Pingat Jasa Kebaktian (PJK)(386 penerima), Pingat Bakti Masyarakat (PBM) seramai 161 penerima dan Pingat Khidmat Lama (PKL) seramai lima penerima,” katanya.

Salhah berkata keseluruhannya penganugerahan itu mencerminkan penghargaan Negeri Melaka terhadap individu yang telah memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang serta memainkan peranan dalam pembangunan dan kesejahteraan negeri.

Katanya pelaksanaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka 2026 diselaraskan bersama semua agensi berkaitan serta mematuhi prosedur dan tatacara ditetapkan bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan penerima serta tetamu sepanjang istiadat berlangsung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

735
Kongsi :
Previous post INTERNET MUDAH ALIH MELAKA CAPAI 100 PERATUS
Next post TUN DR. MOHD ALI PUJI PENTADBIRAN AB RAUF, LAKSANA INISIATIF DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT