
DR. AKMAL HADIRI MUKTAMAR PEMUDA PAS 3 SEPTEMBER
SERI NEGERI 24 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh akan menghadiri Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September ini bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia.
Katanya, kehadiran itu susulan jemputan daripada Pemuda PAS yang diterimanya baru-baru ini, sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan.
“Insya-Allah, saya telah memberikan pengesahan kehadiran saya dan akan bersama kepimpinan Pemuda UMNO ke Muktamar Pemuda PAS. Jumpa di sana nanti, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai penglibatan Pemuda UMNO dalam perbincangan kerjasama politik, beliau berkata, pergerakan itu sememangnya akan terlibat kerana Pemuda UMNO merupakan sebahagian daripada Biro Politik UMNO.
“Pemuda ini sebahagian daripada Biro Politik UMNO, jadi semestinya akan melibatkan kita sekali. Kita tunggu 28 Ogos ini, apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersidang. Insya-Allah akan ada keputusan yang baik untuk semua orang di Melaka,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang, beliau berkata antara fokus utama adalah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk cadangan manifesto yang akan dibawa parti.
“Kita akan mendengar daripada perwakilan mengenai hasrat Pemuda seluruh negara untuk dibawa dan dijadikan sebahagian daripada manifesto kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


