PERPADUAN JADI WARISAN BERHARGA BUAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Rakyat Melaka diseru menjadikan perpaduan dan keharmonian sebagai warisan paling berharga untuk ditinggalkan kepada generasi akan datang, selaras dengan semangat kemerdekaan yang diperjuangkan generasi terdahulu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perjuangan generasi hari ini bukan lagi untuk mendapatkan kemerdekaan, sebaliknya memastikan negara yang telah merdeka terus bersatu, berdaya saing dan bermaruah.

“Jangan kita wariskan perpecahan kepada anak-anak kita. Wariskanlah kepada mereka sebuah negeri yang lebih maju, lebih makmur, lebih bersatu dan lebih manusiawi daripada apa yang kita terima hari ini.

“Dengan tekad Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat, dengan semangat Melaka Sayang Rakyat dan dengan naungan Tuan Yang Terutama Tun, kita akan terus melangkah bukan sekadar untuk mencipta kejayaan hari ini, tetapi untuk membina kegemilangan Melaka bagi generasi yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud di Melaka seharusnya menjadi kekuatan untuk membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh, bukannya menjadi punca perpecahan.

“Kita mungkin berlainan kaum, agama dan budaya, tetapi di bumi Melaka ini, kita berkongsi langit yang sama, rezeki yang sama dan masa depan yang sama.

“Di sinilah kekuatan sebenar Melaka apabila perbezaan tidak memisahkan kita, sebaliknya memperkayakan sebuah keluarga besar bernama Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

969
Kongsi :
Previous post DR. AKMAL HADIRI MUKTAMAR PEMUDA PAS 3 SEPTEMBER