ZIANA ZAIN BERSEMANGAT TERUS HARUMKAN NAMA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Penyanyi terkenal tanah air, Ziana Zain yang kini bergelar Datuk menyifatkan penerimaan anugerah Darjah Kebesaran itu sebagai satu penghargaan bermakna selepas lebih tiga dekad dalam bidang seni.

Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain, 58, dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) sempena Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Pelantun lagu Madah Berhelah itu berkata, pengiktirafan berkenaan amat bermakna kerana diberikan oleh negeri kelahirannya, sekali gus menjadi kenangan istimewa sepanjang perjalanan karier seninya.

“Ini rezeki Allah selepas lebih 30 tahun berjuang dalam bidang seni, sekurang-kurangnya ini pengiktirafan untuk saya dari negeri kelahiran sendiri.

“Saya amat berbesar hati, bangga dan bersyukur kerana anugerah ini bukan sahaja menentukan segala bakti yang telah dicurahkan tetapi bagi saya apa yang saya lakukan adalah tanggungjawab kepada peminat dan orang ramai.

“Namun begitu sebenarnya saya agak sedih kerana kedua-dua ibu bapa tidak dapat melihat detik ini tetapi saya amat syukur,” katanya.

Ziana berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sumbangannya kepada Melaka selepas menerima gelaran berkenaan, Ziana berkata beliau akan terus membawa nama negeri kelahirannya walau di mana sahaja berada.

“Saya tetap akan membawa nama Melaka tidak kira ke mana saya berada dan pergi. Pastinya Melaka di hati kita dan tidak akan lekang.

Ziana yang turut popular dengan beberapa lagu lain antaranya Puncak Kasih dan Putus Terpaksa berkata, turut mengakui memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan gelaran Datuk yang diterimanya.

“Dengan gelaran Datuk selepas ini, mungkin saya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri. Sekarang ini saya sendiri tidak tahu hendak kata bagaimana, nak kata macam mimpi pun ada.

“Pastinya terima kasih saya ucapkan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri atas penganugerahan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post PENCAPAIAN ATLET BUKTI PEMBANGUNAN SUKAN MELAKA BERJAYA
Next post INISIATIF MESRA, WRUR BUKTI KEPRIHATINAN KERAJAAN NEGERI PADA RAKYAT MELAKA