TIGA CEDERA BAS DINAIKI TERBABAS ELAK LORI

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

JASIN 26 Ogos – Tiga termasuk seorang warga tempatan cedera selepas bas dinaiki terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang memperlahankan kenderaan di Kilometer 177.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.45 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun manakala dua lagi wanita masing-masing warga Britain dan Singapura berusia 46 dan 62 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata dalam kejadian itu, bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi terdapat sebuah lori berada di hadapan serta telah memperlahankan kenderaannya.

“Pemandu bas berkenaan dipercayai cuba mengelak daripada melanggar kenderaan berat di hadapan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Akibat kejadian, tiga penumpang mengalami kecederaan iaitu seorang lelaki cedera di bahagian kaki, manakala dua wanita mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa masing-masing berusia 46, 59 serta 62 tahun dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan.

“Sembilan lagi individu termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bas berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian sisi sebelah kanan.

“Pemeriksaan terhadap pemandu juga sedang dijalankan dan akan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jasin bagi menjalani ujian saringan air kencing.

“Punca awal kemalangan sedang disiasat mengikut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post AYDA JEBAT ANTARA 431 TERIMA DARJAH, BINTANG DAN PINGAT KEBESARAN MELAKA SESI KEDUA
Next post MELAKA SIAP SIAGA HADAPI CUACA PANAS EKSTREM, JEREBU