
BN MELAKA KEKAL PENDIRIAN PERTAHAN 21 KERUSI – AB RAUF
GADEK 27 Ogos – Barisan Nasional (BN) Melaka kekal dengan pendirian untuk bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya juga belum lagi membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan mana-mana gabungan politik untuk menghadapi PRN Melaka.
“Kita tidak akan kompromi 21 kerusi, itu adalah garisan sempadan perbincangan kita. Kepada mereka yang mahu menjadikan UMNO sebagai pasangan hidup politik mereka kena beritahu saya apa sebabnya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Sementara itu ditanya mengenai tiga pemimpin kanan PAS dikatakan akan mengadakan perbincangan bersama beliau minggu ini, Ab Rauf berkata beliau mengalu-alukan kedatangan mana-mana pihak untuk mengadakan rundingan.
“Saya mengalu-alukan sesiapa yang hendak datang tetapi asas perbincangan mestilah berdasarkan kepada satu rasional yang cukup munasabah kerana saya tidak boleh hendak menguruskan apa juga keputusan melainkan saya mendapat restu daripada pihak Majlis Tertinggi (MT),” katanya.
Manakala ketika mengulas khabar angin berhubung pembubaran DUN Melaka pada September ini Ab Rauf berkata, proses demikrasi itu berkemungkinan berlaku pada bila-bila masa sahaja.
“PRN bila-bila masa sahaja, tak ada masalah, cuma tarikh itu saya belum dapat ilham. Pembubaran akan dibuat bila waktu bubar, Kalau cakap sekarang tak ‘thrill’,” katanya.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan pada PRN Melaka ke-15, BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan dengan lima kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


