TOK RAUF BAWA SINAR BAHARU BUAT PEWARIS ROTI CANAI 20 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERKAM 29 Ogos – Lebih 20 tahun meneruskan legasi keluarga dalam menghasilkan roti canai, Awang Mohd Afeendy Abu Samah, 52, kini mendapat suntikan baharu untuk mengembangkan perniagaannya selepas menerima mesin uli tepung dan peti sejuk beku.

Peniaga dari Serkam Darat itu antara 10 penerima Bantuan Ekonomi Peniaga Kecil DUN Serkam di bawah Program PROSPEK Peniaga Serkam Darat yang menerima bantuan peralatan bagi memudahkan operasi perniagaan, termasuk pengeluaran roti canai segera.

Menurut Awang, mesin uli tepung berkenaan akan digunakan untuk menghasilkan roti canai, manakala peti sejuk beku pula bagi menyimpan roti canai segera yang menjadi antara produk makanan sejuk beku keluarannya.

“Sumbangan ini memang sangat membantu saya. Dengan adanya mesin yang diperlukan, kerja menghasilkan roti canai dan produk sejuk beku juga jadi lebih mudah.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana memberi sumbangan ini. Saya amat terharu kerana ini kali pertama saya menerima bantuan seperti ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Kepada 10 Usahawan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di Kilang Hamidah Food, di sini, pada Khamis.

Setiap penerima menerima sumbangan antara RM4,000 hingga RM5,000 dalam bentuk peralatan perniagaan, dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM34,000.

Awang berkata, bantuan berkenaan bukan sahaja memudahkan proses pengeluaran, malah memberi peluang kepadanya meningkatkan keupayaan menghasilkan produk makanan sejuk beku untuk pasaran yang lebih luas.

Dia yang juga anak kelahiran Serkam berkata, bantuan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu peniaga kecil meneruskan kelangsungan perniagaan, selain memberi ruang untuk mereka berkembang.

“Bagi saya, Jelajah Ketua Menteri ini adalah landasan terbaik kerana ia menunjukkan keprihatinan Ketua Menteri kepada rakyat,” katanya.

Bagi Awang, bantuan berkenaan menjadi pemangkin untuk beliau meneruskan legasi keluarga dalam menghasilkan roti canai, selain mengembangkan produk keluarannya seiring perubahan permintaan pasaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post KING KING ‘BELAJAR’ DUDUK DALAM KOTAK SEBELUM PULANG KE ZOO MELAKA
Next post PRODUK, WARISAN MELAKA ‘MENYERLAH’ DI KUALA LUMPUR