HARI KEBANGSAAN MELAKA LAKAR SEJARAH, REKOD LEBIH 150,000 PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KLEBANG 31 Ogos – Lebih 150,000 pengunjung memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 yang diadakan di Klebang sepanjang tiga hari.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu dianggarkan lebih 75,000 orang hadir memeriahkan kemuncak sambutan hari ini.

Menurut beliau, jumlah kehadiran luar biasa itu membuktikan sambutan tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri dengan penyertaan bukan sahaja rakyat Melaka tetapi juga pengunjung dari seluruh negara.

Beliau berkata, kemeriahan itu turut menggambarkan kecintaan rakyat terhadap negeri Melaka serta semangat patriotisme yang terus subur dalam kalangan masyarakat.

“Alhamdulillah, saya mewakili Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih di atas sambutan luar biasa ini. Malah, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga sangat terharu dengan sambutan yang disifatkan paling besar dalam sejarah Melaka.

“Kita mengumpul 75,000 orang pada hari kemuncak ini sahaja dan dianggarkan dalam tempoh tiga hari, lebih 150,000 membanjiri kawasan Klebang ini,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Persiaran Jalan Pantai, Klebang, di sini, hari ini.

Sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Menurut Rais, sambutan tiga hari itu dimulakan dengan Program Melaka Berselawat, disusuli pelbagai pengisian termasuk Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC), Sambutan Ambang Merdeka dan kemuncaknya Perbarisan serta Perarakan Hari Kebangsaan membabitkan 12,000 peserta daripada 158 kontinjen.

“Perarakan ini bukan sahaja membabitkan golongan dewasa tetapi juga anak-anak kecil di peringkat sekolah sehinggalah NGO, jabatan dan agensi sehinggalah aset-aset daripada badan beruniform,” katanya.

Rais berkata, cuaca baik sepanjang acara turut membantu memastikan kelancaran sambutan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelbagai pengisian menarik yang disediakan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan, termasuk pengamal media yang membuat liputan sejak hari pertama hinggalah acara kemuncak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI SEBAK LIHAT SOKONGAN RAKYAT MELAKA SEMARAK HARI KEBANGSAAN
Next post MASUK PERCUMA 31 OGOS: MELAKA RIVER CRUISE JADI TUMPUAN