MASUK PERCUMA 31 OGOS: 18,318 PENGUNJUNG MERIAHKAN ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 31 Ogos – Sasaran 10,000 pengunjung sempena Program Kemasukan Percuma ke Zoo Melaka sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bukan sahaja dicapai, malah hampir dua kali ganda apabila seramai 18,318 pengunjung direkodkan sehingga kemasukan percuma di lokasi tersebut ditutup pada jam 4 petang.

Pengurus Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, jumlah tersebut membuktikan sambutan amat menggalakkan daripada rakyat Malaysia khususnya keluarga yang mengambil kesempatan cuti umum untuk membawa anak-anak menikmati pengalaman bersama hidupan liar tanpa dikenakan bayaran kemasukan.

Katanya, program sehari itu bukan sekadar menawarkan peluang kepada orang ramai berkunjung ke Zoo Melaka secara percuma malah menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan hidupan liar serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan khazanah alam negara.

“Kehadiran pengunjung yang mula membanjiri zoo sejak awal pagi turut menyaksikan suasana meriah apabila keluarga dari Melaka dan negeri-negeri berhampiran mengambil peluang mengisi cuti Hari Kebangsaan dengan aktiviti riadah bersama.

“Sambutan luar biasa itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila 21 peniaga kecil dan usahawan tempatan mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai makanan, manisan, minuman serta perkhidmatan seperti face painting kepada pengunjung.

“Penglibatan peniaga tempatan berkenaan merupakan antara pendekatan Zoo Melaka di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) untuk memastikan manfaat penganjuran program berskala besar turut dirasai komuniti, khususnya usahawan kecil,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zahidah Izzati berkata, Zoo Melaka telah membuat persediaan dari aspek operasi, kebersihan, keselamatan dan pengurusan pergerakan pengunjung bagi memastikan kelancaran program susulan jumlah kehadiran yang sangat tinggi.

Jelasnya, sehingga jam 4 petang itu memperlihatkan kemasukan percuma sempena Hari Kebangsaan mendapat sambutan jauh lebih tinggi berbanding sasaran awal, dengan perbezaan 8,318 pengunjung daripada sasaran awal hanya 10,000 pengunjung.

“Kejayaan menarik lebih 18,000 pengunjung dalam tempoh sehari ini diharap dapat terus mengukuhkan kedudukan Zoo Melaka sebagai antara destinasi pilihan keluarga dan pelancong di samping membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali serta menghargai kepelbagaian hidupan liar yang terdapat di negara ini.

“Lebih menarik lagi kehadiran Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengurus Besar Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh ke Zoo Melaka turut menyuntik semangat warga kerja di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

776
Kongsi :
Previous post MASUK PERCUMA 31 OGOS: PENGUNJUNG SERBU ZOO MELAKA SEAWAL 6.30 PAGI
Next post CUTI HARI KEBANGSAAN, ATUK BAWA CUCU JEJAK SEJARAH