WRUR TABOH NANING: KERAJAAN NEGERI KOMITED SEGERAKAN PEMBINAAN KLINIK KESIHATAN BAHARU DI SIMPANG AMPAT

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TABOH NANING 2 September – Kerajaan Negeri akan mengangkat semula permohonan pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Simpang Ampat yang baharu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK) tahun hadapan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, keadaan premis kesihatan jenis empat itu perlu diberikan perhatian segera selepas mengambil kira faktor usianya yang sudah lebih 50 tahun, ruang dalaman yang sempit dan pertambahan jumlah pesakit.

“Permohonan pernah dikemukakan sebelum ini namun peruntukan tidak diluluskan. Sesuai dengan pembangunan sekitar pembinaan kemudahan kesihatan baharu di Simpang Amat amat penting bagi menampung jumlah pesakit pada masa akan datang.

“Kita tidak putus asas dan akan sekali lagi mengangkat permohonan dalam RMK pada tahun akan datang. Sekarang kita hanya menunggu peruntukan bagi pembinaan bangunan baharu kerana proses pengambilan tanah untuk lot baharu bagi pembinaan KK Simpang Ampat baharu seluas 1.3 hektar sudah selesai.

“Keluasan tapak keseluruhan iaitu dua hektar sesuai untuk pembinaan kemudahan kesihatan yang baharu,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Simpang Ampat sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin, hari ini.

Menurutnya, walau bagaimanapun beberapa penambahbaikan segera akan dilaksanakan khususnya membabitkan perkhidmatan pergigian bagi meningkatkan keselesaan pesakit kelancaran operasi.

“Unit pembangunan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka akan meneliti tindakan yang boleh diambil bagi menyelesaikan isu ini. Keutamaan kita pada masa ini adalah untuk tambahan blok baharu bagi membolehkan penambahan kerusi rawatan pergigian yang kini hanya ada satu sahaja.

“Selain menyelesaikan isu bilik rawatan yang menempatkan dua doktor dalam satu bilik dan ini membuatkan pesakit tiada privasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post WRUR TABOH NANING: 2 LOKASI KERAP KEMALANGAN DIPASANG ‘SPEED BREAKER’
Next post JENTERA DUN PASTIKAN GOLONGAN SASAR TIDAK TERCICIR