KEMESRAAN, GELAGAT TOK RAUF CERIAKAN PESAKIT SARAF TERLANTAR 

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TABOH NANING 3 September – Pesakit saraf terlantar Hamid Tambi @Mohd Esin, 78, bakal menghuni rumah yang lebih selesa apabila kebocoran serius pada bumbung kediamannya akan dibaiki segera oleh Kerajaan Negeri.

Kerja bagi menggantikan bumbung kediaman warga emas itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menggunakan peruntukan berjumlah RM20,000.

Berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada Hamid ketika menziarahi warga emas berkenaan pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di Kampung Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Selain peruntukan membaiki bumbung rumah, Ketua Menteri turut menyerahkan surat kelulusan bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Hamid.

Namun apa yang lebih istimewa adalah sentuhan, kemesraan dan gelagat Ketua Menteri ketika menyantuni Hamid, membantu menceriakan warga emas itu yang menghabiskan sebahagian besar waktunya dengan terbaring di atas katil.

Sementara itu Hamid ketika ditemui menyatakan perasaan syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri atas bantuan membaiki bumbung kediamannya.

“Alhamdulillah apabila kerja membaiki bumbung ini siap nanti saya tidak lagi risau rumah akan basah akibat dimasuki air hujan, bantuan bulanan JKM juga dapat membantu meringankan beban kewangan anak-anak untuk memberi keperluan perubatan untuk saya,” katanya  kepada Melaka Hari Ini.

Program ziarah itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, Pengarah Eksekutif LPM  Datuk TPr. Murad Husin serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ketika ini warga warga emas itu dijaga oleh tiga orang anaknya secara bergilir-gilir selepas mengalami kesukaran untuk berjalan akibat masalah kesihatan dialami dan terlantar sejak 2020.

Kebocoran pada bumbung kediaman Hamid dikatakan berpunca daripada serangan monyet liar menyebabkan dia yang terlantar berasa tidak selesa setiap kali hujan lebat kerana bahagian dalam rumah dimasuki air.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post TAK PERLU TUNGGU LAMA, ‘MELAKA RUMAHKU’ SIAP DALAM 3 BULAN
Next post 5 KELUARGA TABOH NANING TERIMA MANFAAT MELAKA RUMAHKU