5 KELUARGA TABOH NANING TERIMA MANFAAT MELAKA RUMAHKU

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TABOH NANING 3 September – Lima keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning menerima manfaat Program Melaka Rumahku tahun ini menerusi satu projek bina baharu dan empat kerja baik pulih kediaman membabitkan peruntukan keseluruhan hampir RM140,000.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, bagi projek bina baharu, sebuah rumah bernilai RM70,000 telah diluluskan, manakala empat lagi keluarga menerima bantuan baik pulih rumah dengan jumlah hampir RM70,000.

“Sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Taboh Naning kita menyerahkan satu rumah untuk baik pulih bernilai RM20,000 dan satu lagi rumah bina baharu yang akan dibina dengan nilai RM70,000.

“Alhamdulillah, keseluruhan untuk DUN Taboh Naning bagi tahun ini sahaja ada satu bina baharu dan empat permohonan baik pulih telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyerahan Sumbangan Bina Baharu Rumah Kepada Abu Bakar Tahar, 87, menerusi Program Melaka Rumahku sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Kampung Melekek Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin serta lain-lain kenamaan.

Rais berkata, bantuan berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) untuk memastikan rakyat yang berdepan masalah kediaman usang atau tidak selamat mendapat perhatian sewajarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan Program Melaka Rumahku turut mengutamakan kecekapan tempoh pelaksanaan dengan kerja baik pulih dan bina baharu disasarkan dapat disiapkan dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan, tertakluk kepada keadaan dan skop kerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post KEMESRAAN, GELAGAT TOK RAUF CERIAKAN PESAKIT SARAF TERLANTAR 
Next post TOK RAUF BUKA JALAN BANTU RAKYAT TABOH NANING BAIKI KEHIDUPAN