PENJAJA BERSEMANGAT MAHU ‘MERIAHKAN’ LAMAN SANTAI SRI NANING

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TABOH NANING 5 September – Kumpulan penjaja yang diberi kelulusan lesen untuk berniaga di Laman Santai Sri Naning, Taman Sri Naning, bersemangat untuk menghidupkan kawasan itu, sekali gus menjadikannya sebagai tarikan baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Penjaja makanan P Kavitha, 46, berasa amat bertuah kerana permohonannya untuk berniaga di kawasan itu mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Memang berasa bertuah, kedudukan Laman Santai Sri Naning dianggap strategik kerana berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, destinasi tarikan pelancongan, kawasan komersial dan perindustrian. Lebih bertuah apabila lesen perniagaan saya diserahkan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Saya bercadang untuk menawarkan makanan seperti rojak dan cendol yang menjadi kegemaran orang ramai, khususnya apabila dinikmati pada waktu cuaca panas atau bersantai sebelah petang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Laman Santai Sri Naning, bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Sri Naning, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

WhatsApp Image 2026 09 03 at 4.00.24 PM
ASMAH menerima lesen perniagaan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu penjaja nasi kukus Asmah Sahid, 62, berkata, kemudahan terbaharu itu menjadikan lokasi berkenaan lebih hidup dan tidak lagi sunyi terutamanya pada waktu malam.

“Berbeza dengan rakan penjaja lain saya bercadang untuk berniaga hingga jam 12 tengah malam, mengikut perancangan saya mahu jemput kumpulan buskers untuk buat persembahan.

“Secara tidak langsung dapat menarik pelanggan, kerana jalan ini adalah antara laluan utama ke kawasan perindustrian dan destinasi pelancongan berhampiran. Terima kasih kepada Ketua Menteri, Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, MPAG dan semua pihak berkenaan kerana beri peluang kepada kami untuk cari rezeki di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post KARNIVAL ANAK MUDA BUKA PELUANG BELIA ‘CARI MAKAN’ DI NEGERI SENDIRI
Next post ‘MAT MOTOR BUKAN MAT REMPIT’ KETENGAH SISI POSITIF DUNIA PERMOTORAN