
KARNIVAL SUNGAI UDANG KAMPUNG KITA LERAI PENANTIAN DUA DEKAD
TABOH NANING 4 September – Penantian lebih 20 tahun masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang untuk memiliki Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bakal berakhir apabila projek pecah tanah pembinaan institusi pendidikan agama itu akan dilakukan tidak lama lagi.
Tidak hanya itu, penduduk di kawasan perumahan membabitkan lebih 10,000 penduduk beragama Islam di DUN itu juga bakal memiliki masjid baharu tidak lama lagi, sekali gus memberi keselesaan kepada ahli kariah untuk beribadah.
Kedua-dua projek berkenaan akan menjadi antara agenda utama pada penganjuran Karnival Sungai Udang Kampung Kita yang sedang berlangsung sehingga 7 September ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan SRA JAIM Sungai Udang amat dinantikan masyarakat setempat selepas lebih dua dekad menunggu.
“Orang Sungai Udang sudah menunggu lebih 20 tahun untuk sekolah ini dan insya-Allah pada 7 September nanti kita akan mengadakan majlis pecah tanahnya.
“Ini antara perkara yang kita mahu selesaikan untuk rakyat Sungai Udang supaya mereka tidak terus menunggu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Rais berkata, pada tarikh sama, satu majlis pecah tanah masjid baharu di Taman Desa Bertam turut diadakan bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada penduduk setempat.
Katanya, masjid berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 ahli kariah melibatkan penduduk Taman Bertam Impian, Taman Bertam Setia dan Taman Seri Bertam.
“Ini adalah antara kerangka yang kita bawa untuk menyelesaikan keperluan rakyat di DUN Sungai Udang,” katanya.
Menurut Rais, Karnival Sungai Udang Kampung Kita yang bermula 31 Ogos lalu turut menjadi platform untuk menghimpunkan jabatan dan agensi kerajaan bersama masyarakat bagi mengenal pasti serta menyelesaikan pelbagai keperluan penduduk.
“Saya memang berhajat melaksanakan Karnival Sungai Udang Kampung Kita kerana DUN ini merupakan antara generasi pertama program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang telah selesai diadakan tahun lalu.
“Jadi, saya tidak mahu orang Sungai Udang ketinggalan dalam pengisian santunan rakyat pada tahun ini.
“Insya-Allah, kemuncak program ini adalah pada 7 September bersekali dengan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang dan kita mahu membawa penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


