
WRUR MEDAN RAIKAN SEMUA WARGA DUN TABOH NANING
TABOH Naning 5 September – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning membolehkan jabatan dan agensi kerajaan berkenaan mengenal pasti pelbagai permasalahan peringkat komuniti termasuk yang dianggap sebagai terpencil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, permasalahan itu direkodkan pada sesi perjumpaan ketika program turun padang bersama komuniti.
Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, antara permasalahan disuarakan adalah mengenai lampu jalan, perparitan, kerosakan jalan serta permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Sebenarnya WRUR adalah masa untuk semua pemimpin Negeri Melaka termasuk Ketua Menteri meraikan warga DUN Taboh Naning. Kita bersama-sama turun padang menyantuni rakyat termasuk masyarkat Orang Asli di Kampung Bukit Payung,” katanya.
“Semua ini membuktikan bahawa WRUR memudahkan rakyat membangkitkan perkara yang membelenggu mereka, mungkin ada menganggap apa yang disuarakan isu kecil, tetapi ia sebenarnya amat besar bagi sesetengah individu atau komuniti.
“Permasalahan ini kita catat dan saya sebagai Adun akan mencari jalan penyelesaian bersama-sama dengan jabatan serta agensi agar kita dapat mencari jalan keluar yang menguntungkan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Bola Sepak Taboh Naning, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Yang turut hadir barisan Exco; Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat DUN Taboh Naning.
Katanya, sepanjang WRUR DUN Taboh Naning bermula 28 Ogos 5 September pihaknya melaksanakan pelbagai program berbentuk komuniti termasuk ziarah kasih, penyerahan bantuan baik pulih dan bina baharu rumah.
“Turut dilaksanakan program kerohanian seperti Bicara Mufti di Masjid Dato’ Dol Said dan kita juga melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) melalui Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


