IBU MUDA MELAKA DAPAT SOKONGAN, KEKUATAN DI BAWAH KEPIMPINAN TOK RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 6 September – Golongan ibu muda di Melaka menyifatkan keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang banyak menghulurkan bantuan serta memperkasa golongan wanita memberi mereka kekuatan untuk mendepani cabaran kehidupan, khususnya dalam mengurus keluarga dan rumah tangga.

Pandangan itu disuarakan peserta Program Himpunan Ibu Muda: “Kita Ibu Muda, Kita Luar Biasa” yang menghimpunkan 300 peserta bersempena menerusi Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ibu tunggal, Azlina binti Mohd Din, 33, berkata, pengisian program terutama berkaitan perceraian dan penjagaan anak membuka mindanya untuk melihat kehidupan dengan lebih positif selepas melalui pengalaman sukar dalam rumah tangga.

“Bila dengar ceramah ini, rasa macam terbuka sikit minda. Selalunya minda saya dalam kotak saja, tapi sekarang kotak itu terbuka.

“Program ini sangat membantu dan memberi kekuatan kepada ibu-ibu muda. Walaupun terpaksa jalan seorang diri, saya kena kuat dan saya bersyukur banyak mendapat sokongan daripada peserta, penceramah dan pemimpin yang hebat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ibu empat anak itu berkata, penganjuran program seumpama itu membuktikan Kerajaan Negeri mengambil berat terhadap golongan wanita dengan menyediakan ruang untuk mereka mendapatkan ilmu, sokongan dan semangat baharu.

Dia yang menetap di Pokok Mangga menyifatkan, usaha berterusan Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai program untuk rakyat juga memberi keyakinan bahawa keperluan golongan wanita di negeri ini sentiasa diberi perhatian.

“Saya berterima kasih kepada Tok Rauf dan kepimpinan negeri yang banyak membawa pelbagai bantuan dan program bermanfaat untuk wanita di negeri ini, termasuk golongan ibu tunggal seperti saya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Siti Hawa Rusli, 40, dari Krubong berkata, program berkenaan memberi semangat kepada ibu muda yang berdepan tekanan kehidupan, rumah tangga dan ekonomi.

Katanya, sebagai ibu kepada empat anak dan dalam masa sama bekerja sebagai pembantu kedai, dirinya amat memahami cabaran yang dihadapi wanita dalam membahagikan masa antara keluarga dan pekerjaan.

“Banyak ibu muda yang mengalami tekanan dari segi menguruskan keluarga. Bila program seperti ini diadakan, kita dapat semangat untuk keluar daripada segala masalah dan keyakinan diri untuk menguruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Siti Hawa turut menyifatkan Ab Rauf sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat kerana mengambil berat terhadap masalah dan kebajikan masyarakat menerusi pelbagai program yang dilaksanakan.

“Ketua Menteri memang hebat. Kepimpinan beliau aktif dan ada saja masalah rakyat yang beliau ambil berat sekali gus menunjukkan beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

594
Kongsi :
Previous post MELAKA BUKAN SEKADAR DESTINASI SEKALI DATANG
Next post PENTERNAK SAMBUT BAIK INISIATIF PEMASANGAN ‘TAGGING’ QR